KEMAMAN 3 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam lagi bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di kedudukan 277.2 kilometer dan 288 kilometer dari Timur Laut Kuala Kemaman di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pihaknya turut menahan seramai 37 awak-awak termasuk tekong yang berusia 21 hingga 60 tahun dalam Op Iman itu.
Katanya, keseluruhan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM3 juta termasuk tangkapan hasil laut iaitu 90 kilogram ikan campur, 18 kilogram sotong kering bersama peralatan menangkap ikan dan 600 liter diesel.
“Kesemua bot ditahan di sekitar kawasan cari gali minyak negara yang berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia-Vietnam oleh kapal KM Pekan.
“Hasil rondaan dan penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berterusan terutama di sempadan perairan antarabangsa dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memaksa nelayan asing mengubah taktik dengan menangkap ikan sekitar sempadan perairan antarabangsa bagi memudahkan mereka meloloskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Rashidilhadi, kesemua bot kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Malaysia Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran.
Katanya, Maritim Malaysia percaya masih ada lagi nelayan asing yang sengaja memasuki perairan Malaysia untuk mencuri hasil laut bagi dibawa pulang ke negara mereka.
“Sepanjang Januari hingga April tahun ini Maritim Malaysia Negeri Terengganu berjaya memeriksa 550 buah vessel dan daripada jumlah itu sebanyak 40 tangkapan telah dilakukan dengan nilai rampasan melebihi RM36 juta.
“Pada minggu ini kita berjaya menahan 14 bot nelayan asing di perairan Terengganu,” katanya.
Rashidilhadi berkata, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau Zon Maritim Kemaman, 09-8582825 – UTUSAN ONLINE











