SHAH ALAM – Seramai 110 individu dicekup kerana terlibat dengan aktiviti penagih dadah menerusi Ops Sarang yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor semalam.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 6 pagi itu tertumpu di beberapa kawasan panas sekitar daerah Klang Utara, Kajang, Sabak bernam, Gombak,Petaling Jaya,Kuala Selangor, Klang Selatan, Sepang, Sungai buloh, Serdang, Kuala Langat dan Ampang Jaya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Superintendan R. Sundralingam berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diperolehi pihaknya mengenai aktiviti penagihan dadah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hasil serbuan menerusi Ops Sarang itu, seramai 110 individu berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun termasuk empat wanita telah berjaya diberkas.
“Selain itu, kita turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 90.55 gram serta 6.2 liter air ketum yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM30,000.
“Antara jenis dadah yang dirampas adalah syabu, heroin, ganja serta pil erimin 5,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lokasi serbuan itu tertumpu di sekitar kawasan paya bakau, rumah kediaman serta kebun kelapa sawit .
“Lokasi ini kononnya menyukarkan kegiatan tidak bermoral itu dikesan pihak berkuasa. Bagaimanapun, hasil kecekapan dan risikan pihak kita berjaya mengesan “port” melepas gian penagih dadah ini.
“Siasatan awal mendapati, ada di antara suspek yang ditahan ini merupakan pengedar jalanan atau kecil-kecilan,”jelasnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dab kes tersebut disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











