ISKANDAR PUTERI 3 Mei – Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas lori yang dinaiki hilang kawalan lalu terbalik di Linkedua susur keluar ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dari Forest City, dekat sini pukul 12 tengah hari tadi.
Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu, Zainal Ramily, 38, dan kelindannya, 30-an yang merupakan warganegara Bangladesh tersepit di tempat duduk masing-masing.
Pengguna jalan raya yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri untuk bantuan kecemasan.
Seramai 23 anggota bomba terdiri daripada lima anggota dari BBP Iskandar Puteri dengan satu jentera:
11 anggota BBP Larkin dengan satu jentera dan satu Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan (EMRS) selain tujuh anggota BBP Forest City dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Ketua Operasi yang juga Ketua BBP Iskandar Puteri, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pemandu itu cedera di bahagian kaki kiri dan kepala manakala kalendannya, 30-an yang merupakan warganegara Bangladesh meninggal dunia akibat cedera parah.
“Kedua-dua mangsa kemudian berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat selama kira-kira tiga jam. Mangsa warga Bangladesh itu tidak diketahui maklumat lengkap mengenai dirinya kerana tidak ditemukan sebarang dokumen pengenalan diri bersama-sama mangsa.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.11 petang,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










