Cagamas catat bon, terbitan sukuk tertinggi dalam tempoh 10 tahun - Utusan Malaysia

Cagamas catat bon, terbitan sukuk tertinggi dalam tempoh 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mei – Perbadanan gadai janji negara, Cagamas Bhd. mencatatkan terbitan agregat berjumlah RM15.8 juta tahun lepas, iaitu yang tertinggi sepanjang 10 tahun, merangkumi sekuriti hutang Cagamas baharu dan lima langkah terbitan mata wang asing Cagamas baharu.

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding RM15.3 juta yang direkodkan pada 2017.

Menurut syarikat pegangannya, Cagamas Holdings Bhd. dalam kenyataan hari ini, inisiatif Cagamas untuk terus menginovasi tawaran mata wang asing baharu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur, sekali gus menyumbang kejayaan terbitan dalam dolar Hong Kong, dolar Singapura termasuk terbitan pertama Nota Kadar Terapung (FRN) dolar Amerika Syarikat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusinya Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata terbitan itu dilanggan dengan baik di peringkat kompetitif, yang menyaksikan daya tahan dan kekuatan pasaran pendapatan tetap domestik selain keyakinan pelabur terhadap profil penarafan kredit syarikat itu.

“Kejayaan Cagamas mengekalkan penarafan antarabangsa A3 oleh Moody’s Investors Service dan penarafan tempatan AAA daripada Malaysian Rating Corporation Bhd dan RAM Rating Services Bhd menjadi bukti rekod prestasi Cagamas yang konsisten dari segi asas modal yang kukuh, kualiti aset yang mantap dan kestabilan dalam keuntungan,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, kumpulan itu yang terdiri daripada Cagamas, Cagamas MBS Bhd (CMBS) dan Cagamas SRP Bhd (CSRP) meningkatkan keuntungan kepada RM416.5 juta berbanding RM414.3 juta pada 2017. Cagamas dan CMBS kekal sebagai penyumbang utama terhadap keputusan ini. -BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini