TAWAU 3 Mei – Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Berhad (MIDF) meluluskan pinjaman bernilai RM790.3 juta membabitkan 774 syarikat di Sabah, setakat 31 Mac lepas.
Ketua Divisyen Bahagian Kewangan Pembangunan MIDF, Azizi Mustafa berkata, MIDF terus memberi sokongan kepada syarikat tempatan dengan pelbagai tawaran bantuan kewangan agar dapat bersaing serta berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi.
“Bagi membantu membangunkan perniagaan Malaysia, MIDF menyediakan beberapa skim pembiayaan bagi syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berdaya saing dan maju dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan,” katanya pada ucapan pembukaan Seminar Industry4WRD dan Automasi di sini, hari ini.
Seminar yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai usaha kerajaan dan agensinya membantu mengembangkan potensi perniagaan usahawan tempatan dihadiri lebih 50 peserta IKS dari pelbagai bidang, ia telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.
Selain itu, Azizi berkata, pihaknya kini menguruskan RM2.6 bilion skim pinjaman mudah bagi membantu IKS di seluruh negara agar terus berdaya saing. – BERNAMA










