PUTRAJAYA – Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menerima kunjungan hormat oleh Naib Presiden Argentina, Marta Gabriela Michetti di Wisma Putra di sini.
Semasa kunjungan hormat itu delegasi Argentina dan Malaysia mengadakan perbincangan tertutup selama kira-kira sejam.
Michetti berada di sini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia dari 2 Mei sehingga 6 Mei, dan ini merupakan lawatan rasmi kali pertama dari Argentina dalam tempoh 22 tahun.
Kali terakhir Malaysia dikunjungi lawatan rasmi dari Argentina ialah pada tahun 1990 dan 1997 yang melibatkan kunjungan bekas Presiden negara itu Carlos Menem.
Mac lepas Saifuddin membuat lawatan kerja selama lima hari ke Argentina.
Malaysia dan Argentina menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1967. Pejabat kedutaan Argentina dibuka di Kuala Lumpur pada 1983, manakala Malaysia membuka pejabatnya di di Buenos Aires pada tahun 1989. – Bernama










