KUALA LUMPUR 3 Mei – Cadangan kerajaan untuk menyediakan elaun dan gaji sebanyak RM6 bilion bagi membantu graduan tempatan di tempat kerja adalah satu lagi percubaan populis untuk membeli sokongan belia yang boleh memberi impak yang besar kepada negara.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan perlu menimbang semula skim subsidi itu yang dianggap sebagai pembaziran dan memberi tumpuan kepada latihan teknikal dan vokasional untuk menghasilkan lebih ramai graduan mahir.
Tambahan pula dengan hanya mensubsidi graduan baharu, ini akan menjadi sangat tidak adil kepada mereka yang tidak mempunyai ijazah kerana mereka juga membentuk tulang belakang tenaga kerja Malaysia.
“Adalah lebih baik kerajaan membelanjakan dana untuk membantu kemasukan graduan baharu memasuki pasaran kerja. Dengan memiliki kemahiran teknikal dan vokasional, graduan baharu dapat meneroka sektor tidak formal dengan lebih mudah.
“Contohnya seperti sekarang, kita kekurangan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang dimiliki oleh ramai graduan memaksa mereka untuk mengambil pekerjaan yang berkemahiran rendah dengan gaji rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











