PUTRAJAYA 3 Mei – Kerajaan akan mengenal pasti tanah-tanah terbiar miliknya seluruh negara untuk dibangunkan dalam usaha memberi peluang kepada golongan petani dan pekebun kecil mempertingkatkan produktiviti serta hasil pertanian mereka.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, adalah lebih baik bagi tanah-tanah terbiar tanpa perancangan dalam masa terdekat itu dibangunkan untuk bidang pertanian.
Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menentukan kesuburan tanah-tanah berkenaan bagi industri tertentu dalam usaha memajukan sektor pertanian.
“Kita telah diberi pencerahan bahawa terdapat banyak tanah kerajaan yang terbiar dan tidak dibangunkan selama ini. Dari maklumat yang dikumpulkan, tiada perancangan ke atas tanah ini untuk beberapa tahun akan datang.
“Oleh itu, tanah-tanah ini akan diteliti oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melihat bagaimana kita boleh bangunkan dan memberi peluang kepada petani dan pekebun yang telah menjalankan pertanian pada skala kecil untuk meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perbincangan strategik Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Mohamed Azmin bagaimanapun berkata, beliau tidak dimaklumkan berhubung keluasan tanah yang dikenal pasti berkenaan tetapi memberitahu bahawa ianya banyak.
Dalam pada itu, Salahuddin menjelaskan, antara tanaman yang dicadangkan untuk dibangunkan dalam Program Hasil Baharu adalah ‘cash crop’ (tanaman jangka pendek) yang boleh memulangkan hasil yang cepat seperti kunyit, halia dan serai serta beberapa jenis sayuran nilai tinggi yang boleh dilaksanakan secara sistematik.
Selain itu, kata beliau, untuk tanaman kekal, kerajaan akan melihat kemungkinan penanaman pokok durian, nangka madu serta tanaman-tanaman kontan lain yang dilihat penting untuk membantu industri seperti makanan binatang melibatkan potensi tanaman seperti jagung bijiran untuk makanan haiwan ternakan.
“Inilah yang kita fikir dalam proses membangunkan tanaman-tanaman ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin memberitahu, imbangan dagangan makanan di negara ini dilihat agak membimbangkan dan menuntut kerajaan melihat potensi-potensi baharu. – UTUSAN ONLINE











