KUALA LUMPUR 2 Mei – Harga sewaan hartanah di beberapa kawasan popular seperti Kuala Lumpur didapati tidak meningkat kerana terdapat peningkatan dalam bekalan hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng berkata, selain itu pasaran sewaan kediaman di Lembah Klang diunjur berada dalam keadaan tetap dan tiada peningkatan harga sewa untuk sementara waktu.
Beliau berkata, ini kerana, pemilikan rumah ketika ini menjadi semakin mudah hasil daripada inisiatif yang dijalankan kerajaan seperti kempen pemilikan rumah (HOC) yang menawarkan pengecualian duti setem kepada pembeli.
“Ia mungkin tidak menjadi masalah jika anda membeli rumah untuk diri sendiri tetapi jika anda bercadang untuk membuat pelaburan, anda perlulah lebih berhati-hati.”
“Data transaksi SPEEDHOME selama dua tahun lalu menunjukkan harga sewa di beberapa kawasan popular seperti Kuala Lumpur terutamanya, tidak meningkat oleh kerana telah terdapat peningkatan bekalan hartanah yang sudah mencukupi.
“Bagi pemilik yang membeli rumah mereka lima tahun lalu dengan harga yang lebih rendah, mereka masih boleh mendapatkan pulangan sewa yang baik. Manakala bagi pemilik baharu dan semasa, ia lebih sukar apabila harga rumah baharu di pasaran melebihi RM300,000. Ini menyebabkan pulangan penyewaan sewa menjadi lebih rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, SPEEDHOME turut membandingkan tawaran transaksi sewaan kediaman dengan harga jualan median Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan mendapati kawasan seperti Hartamas, Selayang dan Ampang mempunyai pulangan sewa tertinggi dengan jumlah masing-masing sebanyak 5.6 peratus, 5.3 peratus dan 4.8 peratus.
“Hartamas mencapai hasil sewa tertinggi dengan pulangan 5.6 peratus disebabkan oleh harga median yang rendah iaitu RM420,000, Selayang pula memperoleh peratusan kedua tertinggi sebanyak 5.3 peratus yang mana sewa purata di kawasan itu meningkat sementara median kekal rendah pada RM330,000.
“Manakala dengan hasil sewa sebanyak 4.8 peratus dan median pada RM387,500, Ampang berada di tempat ketiga dengan lokasi strategiknya di pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata, data juga menunjukkan kebanyakan pemilik kediaman menjangkakan harga sewa yang tinggi, malangnya tidak bagi penyewa yang hanya mampu membayar pada kadar sewa yang lebih rendah.
Sebagai contoh katanya, pemilik rumah di Hartamas menetapkan kadar sewa sebanyak RM2,772 sebulan tetapi penyewa hanya mampu membayar pada kadar RM1,972 sahaja yang merupakan perbezaan sebanyak 29 peratus.
“Pemilik rumah di USJ juga mengharapkan sewa purata sebanyak RM1,721 manakala penyewa hanya mampu membayar RM1,229 sahaja.
“Fasiliti yang mudah diakses di sekitar USJ memainkan peranan penting dalam meningkatkan jangkaan harga sewaan rumah. Dalam pada itu, pemaju hartanah juga turut melancarkan projek hartanah baharu yang secara amnya akan mengurangkan keperluan membayar sewa yang lebih tinggi,” katanya.
Whei Meng sekali lagi mengingatkan para pembeli hartanah untuk merancang pelaburan dengan baik serta memastikan ia dapat dikekalkan untuk jangka masa yang panjang.











