KEDAH akan turun berdepan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini dengan misi balas dendam selepas dimalukan pasukan bergelut itu 1-2 ketika aksi kelapan liga awal bulan lalu.
Pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof menjelaskan, skuad Helang Merah itu yakin dapat menebus semula maruah mereka selepas dikejutkan skuad kendalian Chong Yee Fatt itu yang kini menduduki tangga kedua terbawah liga.
Berbekalkan tonik kemenangan 3-1 ke atas kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada aksi pertama suku akhir Piala FA di Shah Alam Selasa lalu, Azmeer menjelaskan, Kedah kini telah bersedia sepenuhnya untuk merobek gawang skuad The Hawks itu di samping mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di gelanggang sendiri musim ini.
“Sudah pasti kami mahu menebus semula kekalahan 1-2 kepada mereka di Cheras awal bulan lalu. Jika ditanya tentang faktor keletihan, ia semestinya membelenggu semua pemain kerana kedua-dua pasukan berdepan jadual padat selepas baru sahaja selesai beraksi dalam kempen Piala FA.
“Bagaimanapun, kami mahu meneruskan momentum kemenangan ke atas PKNS FC (suku akhir Piala FA) Selasa lalu sebagai suntikan motivasi untuk menebus semula maruah kami apabila menyambut kunjungan mereka.
“Sudah tentu kami tidak mahu lagi terlepas tiga mata dan aksi berdepan Kuala Lumpur ini mempunyai dua misi iaitu menebus kekalahan di Cheras dan juga mengekalkan rekod bersih kami yang tanpa tewas di Stadium Darul Aman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Azmeer menggesa rakan sepasukannya supaya meneruskan perjuangan sehingga penghujung perlawanan seandainya Kuala Lumpur terlebih dahulu mendapat jaringan awal.











