KUALA LUMPUR 2 Mei – Laporan awal terhadap kajian rantaian bekalan makanan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati wujud aktiviti mengaut keuntungan berlebihan sehingga 133 peratus, melibatkan satu barangan popular.
Tanpa mendedahkan produk itu, menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia dikesan berlaku di peringkat pengimport dan pemborong.
Menurutnya, pengguna tiada alternatif kerana barangan itu 100 peratus diimport.
“Penemuan itu adalah sahih, apabila saya baca laporan itu, saya lihat ada perakuan wujudnya elemen itu, saya bukan baca sahaja, malah saya panggil industri yang terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan akan diambil bagi mengatasi masalah itu.
Dalam pada itu, beliau berkata penggantungan permit import cili dari Vietnam sejak 14 Sept tahun lepas berikutan kandungan sisa racun perosak yang tinggi, masih berkuat kuasa.
“Berikutan larangan ke atas cili Vietnam, alternatif kita bagi memastikan bekalan mencukupi ialah dengan membawa masuk cili import dari negara lain seperti Thailand,” katanya. – BERNAMA











