“Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Itu antara peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan gadis muda berusia 23 tahun ini dalam membina empayar perniagaan coklat sendiri.
Nur Putri Aina Afrinna Mohd. Hood atau lebih dikenali sebagai Aina baru sahaja selesai menamatkan pengajian Certificate of Accounting (LCCI) dan bergiat aktif dalam bidang perniagaan coklat sejak lima tahun lalu.

Bermula dengan menjual coklat sebagai seorang ‘dropship’, Aina tidak menyangka perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan itu mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Menerusi perniagaan coklat yang dinamakan Afrinna Chocolate, Aina kini mampu menjana pendapatan hampir RM10,000 sebulan berkat usaha gigihnya mempromosikan perniagaan tersebut secara konvensional dan atas talian.
“Idea untuk menceburi perniagaan berasaskan coklat bermula apabila saya menjual coklat secara atas talian secara suka-suka. Saya mempromosikan jualan coklat kepada rakan-rakan dan tidak menyangka mereka memberikan maklum balas yang menggalakkan.
“Sejak itu saya mendapat idea untuk memulakan perniagaan coklat dari rumah secara atas talian sahaja kerana tidak memerlukan modal besar untuk memasarkan produk,” katanya kepada Mega Rona.
Menurutnya lagi, perniagaan coklat yang dibina atas kegigihannya sejak zaman belajar kini membuahkan hasil apabila mampu membantu lebih ramai suri rumah atau pelajar menjana pendapatan dari rumah.
“Afrinna Chocolate memberi peluang kepada mereka yang ingin menjana pendapatan yang boleh mencecah sehingga lima angka dengan berniaga coklat atas talian sahaja.
“Insya-Allah, dengan kerajinan dan usaha gigih, kita mampu menjana pendapatan lumayan dari rumah,” katanya.
Tambahnya, Afrinaa Chocolate mempunyai pembekal sendiri dan telah berkolaborasi dengan beberapa kilang untuk menghasilkan pelbagai jenis coklat yang sangat unik.
“Lebih 10 jenis perisa coklat unik ditawarkan bagi memenuhi cita rasa pelanggan seperti almond milk, kismis, coklat putih, coklat gelap, coklat bijan, hazelnut, strawberi, teh hijau dan banyak lagi.
“Malah coklat yang dihasilkan ini mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu saiz coklat yang lebih besar, tekstur berkilat dan tidak mudah melekit atau cair,” katanya.
Mengulas lanjut, Aina turut memberitahu bahawa tiada perkara mudah untuk membina sebuah empayar perniagaan kerana segala usaha, perit, suka dan duka perlu ditempuh terlebih dahulu.
“Tipulah kalau saya katakan tiada cabaran dalam mengusahakan bisnes coklat ini. Malah, saya pernah meredah hujan, panas dan sentiasa pulang lewat malam demi memuaskan hati pelanggan.
“Saya juga terpaksa bersaing dengan jenama coklat sedia ada di pasaran yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.
Tambah Aina, dia tidak menjadikan cabaran dan kesukaran yang dihadapi sebagai penghalang, sebaliknya perkara itu dijadikan sebagai kekuatan untuknya melangkah maju ke hadapan.
“Saya ingin membuka sebuah kedai khas untuk peminat coklat Afrinna bagi mendapatkan terus dari kedai.
“Saya juga berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan wanita dengan hanya berniaga dari rumah,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat pelbagai jenis koleksi coklat boleh layari laman instagram Afrinna Chocolate Official.










