KUALA TERENGGANU 2 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menggempur perkidmatan bas persiaran di negeri ini yang dikesan tidak menyediakan khidmat pemandu pelancong dalam operasi sempena cuti umum Hari Pekerja semalam.
Ops Khas Bas Persiaran itu dilancarkan di sekitar lokasi pelancongan di negeri yang laluannya menjadi tumpuan bas berkenaan untuk membawa pelancong.
Jurucakap JPJ negeri berkata, antara tumpuan operasi adalah di Pasar Besar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bas persiaran itu mendapati pengusaha mereka gagal mematuhi peraturan 6(1) Akta Industri Pelancongan berkaitan pelesenan dan perkhidmatan pemandu pelancong.
“Kes yang berkaitan kesalahan perkhidmatan pemandu pelancong diserahkan kepada pihak penguatkuasa Kementerian Pelancongan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, JPJ Terengganu sentiasa memantau para pemandu dan pengusaha bas persiaran agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan pada masa sama, bas persiaran sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Tambahnya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, JPJ Terengganu telah mengadakan empat siri Ops Khas Bas Persiaran dan telah mengambil tindakan terhadap pemandu serta pengusaha bas jenis itu atas kesalahan pelesenan pemandu dan juga melanggar syarat berkanun lesen di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Awam Darat(APAD). – UTUSAN ONLINE











