LONDON 2 Mei – Pengendali Cardiff, Neil Warnock didenda 20,000 pound (RM107,980) oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas mengkritik keputusan pengadil perlawanan, Craig Pawson selepas tewas 1-2 kepada Chelsea, Mac lalu.
Warnock berang selepas Chelsea menjaringkan gol pada 10 minit terakhir perlawanan menerusi Cesar Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek yang sekali gus memadam kelebihan 1-0 yang dimiliki mereka dan menyebabkan mereka kehilangan tiga mata penting.
Jaringan Azpilicueta dibenarkan walaupun pada hakikatnya dia berada pada kedudukan ofsaid dan Warnock melabelkan pengadil perlawanan Liga Perdana Inggeris sangat teruk dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Warnock didapati bersalah selepas melakukan tiga kesalahan di bawah Peraturan 3 FA.
“Walaupun pengurus itu menafikan kesalahan di bawah Peraturan FA E3, perkara itu dapat dibuktikan menerusi perbicaraan yang dijalankan badan bebas.
“Komen yang diberikan selepas tamat perlawanan kepada BBC dan Sky Sports didapati melanggar peraturan kerana mempertikai kredibiliti pegawai pertandingan,” kata FA dalam satu kenyataan.-AGENSI











