KUALA LUMPUR 2 Mei – Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang bakal dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun selepas dijadualkan bersara esok merupakan seorang anak konstabel polis dan membesar dalam suasana berpindah-randah sejak kecil.
Memetik laporan Berita Harian, Anak kepada Allahyarham Bador Ijoh yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur itu pernah mendiami berek-berek polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur; Balai Polis Serendah (Rawang); Balai Polis Jerantut (Pahang); Balai Polis Tampin (Negeri Sembilan) bersama sembilan adik-beradiknya serta ibunya yang juga suri rumah berketurunan Cina.
Abdul Hamid juga terpaksa berpindah sekolah bermula dari Sekolah Rendah Inggeris (Sekolah Rendah Sinaran Budi) di Rawang, Selangor, pada 1965 sebelum menyambung darjah dua di Sekolah Rendah Inggeris, Jerantut Pahang, dari 1966 hingga 1970; Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong, Pahang (1971-1976) dan Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan pada 1977.
Selepas menamatkan persekolahan, Abdul Hamid yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu bekerja sebagai pelayan dan penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dari tahun 1977 sehingga 1979 sebelum berpeluang menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih pada 4 November 1979.
Sebaik sahaja tamat latihan, beliau ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman, bermula tahun 1980 hingga 1996 seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak pada tahun 1999.
Kerjaya beliau dalam pasukan terus berkembang apabila kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001, seterusnya diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Ketua Cawangan Khas, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada tahun 2005.
Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, pada 2009.
Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos 2015 seterusnya melebarkan sayap apabila dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.
Walaupun terpaksa berdepan kesibukan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya, Abdul Hamid mampu melanjutkan pembelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Diploma Sains Kepolisan pada tahun 2001 sebelum mengikuti kursus di bawah program The Chevening Scholarship United Kingdom (UK) di University of Birmingham pada tahun 2008.
Abdul Hamid mula mendapat perhatian pada 2015 apabila mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mendesak siasatan secara telus semasa menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.
Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia melumpuhkan kegiatan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh. – UTUSAN ONLINE











