KUALA LUMPUR 1 Mei – Polis belum menerima sebarang laporan oleh mana-mana pihak berhubung penularan sebuah video yang memaki hamun Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dirakam seorang lelaki dipercayai semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi menerima laporan polis berhubung rakaman video berkenaan termasuk daripada Mufti itu sendiri.
“Bagaimanapun, pihak polis sendiri boleh membuat laporan berdasarkan video berkenaan sebelum tindakan seterusnya iaitu mengesan lelaki dalam rakaman tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam rakaman video berdurasi lima minit 31 saat itu, seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat dan mendakwa Mohd. Asri atau lebih popular dengan gelaran Dr. Maza telah menghina agama Hindu.
Dia bagaimanapun tidak menyatakan di mana dan bila tindakan menghina agama Hindu tersebut dibuat oleh Dr. Maza.
Lelaki terbabit turut meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi Dr. Maza di penghujung rakaman video tersebut. – UTUSAN ONLINE











