SANDAKAN 1 Mei- Polis menerima tiga laporan dan membuka dua kertas siasatan setakat ini berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan sejak tempoh berkempen bermula pada 27 April lepas.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Sebanyak 65 permit telah dikeluarkan kepada calon yang bertanding untuk mengadakan ceramah umum.
“Buat masa ini lebih 1,000 anggota telah ditempatkan untuk memastikan proses PRK berjalan lancar dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Azhar turut menasihatkan kepada setiap calon supaya mematuhi peraturan dan undang-undang serta syarat dalam permit yang telah diluluskan.
“Berkempenlah secara matang dan profesional jangan melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat seperti menghasut, melakukan khianat terhadap bahan-bahan kempen,” katanya.
PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.- BERNAMA











