LANGKAWI 1 Mei – Kapal layar mewah Equanimity yang berlabuh di Pangkalan Laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jalan Bukit Malut di sini, sejak 14 November tahun lalu, telah belayar keluar daripada pangkalan tersebut pada 28 April lalu.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini yang memaklumkan, bahawa kapal tersebut menuju ke Singapura.
Kata beliau, pergerakan kapal itu tidak diiringi oleh pasukan keselamatan seperti mana sebelum ini, berikutan bukan lagi merupakan aset kerajaan Malaysia yang diletakkan di bawah kawalan Jabatan Peguam Negara (AG).
Pada 3 April lalu, kapal layar mewah Equanimity itu akhirnya dibeli oleh Genting Malaysia Berhad dengan harga AS$126 juta (RM521.2 juta) setelah hampir lapan bulan berlabuh di negara ini dan lima bulan dibuka untuk dilelong.
Kapal berkenaan sebelum ini adalah milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low bernilai AS$250 juta (RM1.034 bilion).
Jika sebelum ini Genting yang dijangka melunaskan bayaran Equanimity bulan depan hanya mengendalikan kapal persiaran, kini mereka mencatatkan sejarah sebagai konglomerat pertama memiliki kapal layar paling mahal di negara ini.
Penjualan kapal mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu biarpun kurang daripada harga tawaran iaitu AS$130 juta (RM537.75 juta) namun ditegaskan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas mencatatkan jualan kehakiman tertinggi. – UTUSAN ONLINE











