TAWAU 1 Mei-Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki dalam satu serbuan di kawasan Kampung Tinagat, Batu 8, Jalan Apas di sini selepas dipercayai cuba menyeludup masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam serbuan pada pukul 11 malam di pondok pengawal di sebuah syarikat perindustrian itu, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan itu serta dua lelaki dipercayai pengurus migran dan seorang lelaki yang ditugaskan untuk mengangkut PATI.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 74 tahun serta terdiri daripada dua rakyat tempatan dan dua warga Indonesia.
“Hasil pemeriksaan di pondok itu mendapati tiga wanita dewasa serta dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan bersembunyi di dalam stor pondok berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kesemua migran tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan mengaku baru mendarat di pantai Batu 8 Tinagat dari Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Pajeri berkata, selain 11 individu yang ditahan, pihaknya turut merampas sebuah Proton Iswara digunakan untuk mengangkut migran itu dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau.
Sementara itu, Unit Risikan Marin (URM) mengesan dua perahu mencurigakan antara pukul 5.30 hingga 5.45 petang di Pulau Bum Bum, Semporna semalam.
Berpandukan maklumat URM itu, pasukan peronda PPM bertindak memeriksa kedua-dua bot tersebut dan dan menahan empat lelaki dipercayai menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
“Turut ditemukan di dalam ruangan kedua-dua bot itu iaitu 15 dan lapan kilogram ikan mati dipercayai di bom.
“Kesemua tahanan bot berumur antara 18 hingga 50 tahun yang berasal dari Kampung Labuan Haji itu mengaku melakukan kegiatan berkenaan sejak sekian lama,”katanya.-BERNAMA











