JOHOR BAHRU 1 Mei – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang ditinggalkan di lorong kecemasan tanpa pemandu di kilometer 28.1 Lebuhraya Link Kedua Arah Utara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Yip Chee Seng, 53, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala kesan pelanggaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Gelang Patah menghala ke Senai menunggang motosikal jenis Kawasaki di lorong kecemasan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang bekerja sebagai chef di Singapura telah melanggar belakang kereta Proton Iswara yang diletak dan ditinggalkan di lorong kecemasan tanpa pemandu.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa yang tercampak telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia dilokasi kemalangan setelah diperiksa oleh pihak Ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, tempat kejadian merupakan kawasan lebuh raya serta terdapat dua lorong sehala dan berada dalam keadaan rata dan kering.
“Keadaan cahaya di lokasi gelap tanpa lampu jalan dan cuaca pada ketika itu adalah baik. Punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya dN kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











