GUA MUSANG 1 Mei – Seorang pemandu lori yang membawa kelapa sawit maut manakala kelindannya cedera parah selepas kenderaan mereka dipercayai bertembung dengan sebuah treler di Jalan Felda Aring 6, dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, pemandu lori jenis Daihatsu, Muhamad Zaki Ismail, 30, dari Felda Chiku 7 di sini maut di tempat kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian dada.
Kelindannya yang merupakan warga Indonesia dikenali sebagai Budianto, 41, cedera parah di bahagian kepala.
Pemandu treler yang membawa bijih besi, Muhamad Arif Ikmal Mohti, 22, dari Ipoh, Perak pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika kejadian pemandu treler itu dikatakan dalam perjalanan dari Aring 5 menuju ke Kuantan, Pahang.
Katanya, setiba di tempat kejadian, keadaan jalan rosak dan berlubang dikatakan menyebabkan treler berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan serta mendaki bukit dalam kelajuan yang perlahan.
“Pada masa yang sama, lori muatan sawit yang datang dari arah bertentangan dari atas bukit dipercayai tidak memperlahankan kenderaan terus merempuh bahagian hadapan treler berkenaan.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu itu tersepit di dalam lori berkenaan telah maut dan rakannya cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, mangsa yang maut terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa cedera dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) AKta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











