F&N bersedia hadapi cukai gula - Utusan Malaysia

F&N bersedia hadapi cukai gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Fraser&Neave Holdings Bhd. (F&NHB) telah bersedia untuk menghadapi pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) yang bakal bermula 1 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, pihaknya telah menggariskan tiga hala tuju umum sebagai penampan kepada pelaksanaan SSB.

Usaha syarikat ialah memperkenalkan pek dengan saiz lebih kecil, merumuskan semula resipi untuk mengurangkan kandungan gula pada produk sedia ada dan menggiatkan inovasi dalam kategori produk lebih sihat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pelaksanaan cu­kai baharu itu memberikan cabaran besar kepada syarikat kerana ia melibatkan 90 peratus daripada rangkaian produk minuman yang dikeluarkannya.

“Buat masa ini, kami mungkin dapat merumuskan semula sekitar 70 peratus daripada produk minuman sedia ada supaya kandungan gula dapat dikurangkan untuk mengelak pengenaan cukai dan kami masih perlu membuat kajian lanjut untuk 30 peratus selebihnya.

“Ini tidak bermaksud produk-produk yang dirumus semula tidak akan menyaksikan peningkatan harga selepas 1 Julai kerana kos penyelidikan yang signifikan diperlukan bagi pro­ses rumusan semula ini.

“Ia bukan hanya sekadar untuk memenuhi regulasi, minuman dengan resipi baharu ini mesti enak diminum dan kami memiliki makmal kajian di negara ini, Singapura dan Thailand untuk proses tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dalam sesi taklimat prestasi separuh tahun pertama F&NHB 2018/2019 di sini semalam.

Sepanjang tempoh tersebut, F&NHB merekodkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan kukuh pada hampir kesemua petunjuk utama termasuk peningkatan hasil sebanyak 3.8 peratus kepada RM2.03 bilion.

Lonjakan keuntungan sebelum cukai pula adalah sebanyak 33.3 peratus kepada RM288 juta berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut terutamanya disumbangkan daripada prestasi kukuh perniagaan Food & Beverages Thailand yang mencatatkan peningkatan hasil 9.5 peratus kepada RM940.1 juta dan peningkatan untung selepas cukai sebanyak 14.8 peratus meskipun telah memulakan pembayaran cukai korporat tahun ini.

Sementara itu, Yew Hoe menambah, pihaknya berterima kasih atas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan SSB dari 1 April lalu kepada 1 Julai yang antara lain memberi ruang untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih meriah selain memberi lebih masa kepada syarikat untuk membuat persediaan.

Kerajaan bakal mengenakan duti eksais sebanyak 40 sen seli­ter bagi minuman sedia diminum dengan kadar gula melebihi 5 gram/100 mililiter (ml) manakala bagi minuman berasaskan susu, kadar yang ditetapkan adalah lebih 7 gram/100 ml dan untuk jus buah dan sayur lebih 12 gram/100 ml.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini