SERI MANJUNG – Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) terpaksa berpuas hati apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu Perak dalam peringkat suku akhir pertama Piala FA di gelanggang sendiri di Stadium Majlis Perbadanan Manjung di sini sebentar tadi.
Pelawat terlebih dahulu memperoleh peluang baik untuk mendapatkan jaringan awal namun percubaan Gilmar Jose Da Silva Filho dari luar kotak penalti terkena palang sebelum dikeluarkan pertahanan PKNP FC pada minit ke-19.
The Bos Gaurus sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-30 namun sepakan Brendan Gan yang mendapat hantaran leret rakan sepasukan berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Ahmad Asyraaf Omar.
Palang gol sekali lagi menafikan peluang Perak untuk mendapatkan jaringan melalui sepakan pemain penyerangnya, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-36.
Perlawanan agak perlahan apabila serangan kedua-dua pasukan tidak membahayakan lawan masing-masing selain tidak menepati sasaran ke arah gol.
Pasukan tuan rumah berjaya memperoleh peluang terbaik mereka pada minit ke-81 melalui sepakan pemain tengahnya, Thomas Abbey menyepak bola ke arah gawang Perak namun ditepis penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Abbey sekali lagi berjaya memperdayakan pertahanan Perak namun tandukannya ditangkap kemas Hafizul Hakim pada minit ke-85.
Tamat perlawanan, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati selepas hanya seri tanpa jaringan di hadapan lebih 3,000 penyokong.
PKNP FC dan Perak akan bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh pada 11 Mei depan. – K! ONLINE











