KUALA LUMPUR 30 April – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di laluan kecemasan di Kilometer 28, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Latar) arah Kuala Selangor, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, lelaki berusia 29 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Arsad Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda Ford Ranger dari arah Rawang ke Kuala Selangor mengalami kerosakan lalu memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan.
“Semasa pemandu berusia 32 tahun itu hendak keluar dari kenderaan, tiba-tiba motosikal dipandu mangsa melanggar bahagian belakang kanan pacuan empat roda tersebut mengakibatkan penunggang motosikal tercampak dan jatuh di atas jalan raya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan didapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











