KUALA LUMPUR – Program “Beli & Jimat” yang dilancarkan menerusi aplikasi NGO Negaraku merupakan alternatif dalam membantu pelajar khususnya di IPTA dan IPTS bagi mendapatkan produk dan barangan dengan harga jimat.
Idea berkenaan tercetus setelah Kad Digital NGO Negaraku diperkenalkan tahun lalu dan kini ia sebagai usaha mengorak langkah ke depan dengan melancarkan aplikasi NGO Negaraku.
Pengasas Kelab Sahabat Persaudaraan (KSP), Dr. Mohd. Zamri Noordin menjelaskan, aplikasi berkenaan merupakan inisiatif terbaharu yang diperkenalkan untuk membantu pelajar khususnya IPTA dan IPTS.
“Program ini dapat membantu pelajar dalam membeli produk dan barangan dengan harga lebih jimat sementara lebihan hasil yang diperolehi akan dikembalikan kepada pelajar menerusi sumbangan CSR yang tidak berkemampuan.
“Pada masa sama, sebanyak 30,000 kad ahli NGO Negaraku akan diedarkan di IPTA dan IPTS terpilih pada Mei nanti.
“Kita masih dalam usaha mengumpulkan penyertaan daripada syarikat-syarikat pembekal termasuk GLC (Syarikat milik kerajaan) untuk bersama-sama menjayakan program ini,” katanya pada majlis pelancarannya Jumaat lalu.
Bagaimanapun, aplikasi tersebut menggunakan pendekatan tertutup iaitu hanya khusus untuk Ahli-ahli NGO yang berdaftar di bawah Aplikasi NGO Negaraku. – K! ONLINE











