PUTRAJAYA 30 April 2019 – Masalah stamina jelas menghantui skuad FIT Touch Terbuka Campuran negara apabila tewas empat kali berturut-turut sepanjang kejohanan Piala Dunia FIT Touch 2019 setakat ini.
Selepas dibelasah Samoa (1-14) dan New Zealand (0-20) dalam aksi pusingan round robin pada hari pertama kejohanan, duka anak-anak buah Mohd. Ehsan Manan dilihat tidak sekadar terhenti di situ apabila mudah diatasi dua gergasi Asia iaitu China (2-8) dan Jepun (3-10) hari ini.
Dalam aksi menentang Jepun hari ini, skuad negara yang pada mulanya dilihat mampu memberikan tentangan sengit apabila sekadar ketinggalan 1-3 pada babak pertama begitupun gagal mengekalkan momentum sebelum akhirnya tewas dengan jumlah mata yang lebih besar.
Cuma, ia bukan alasan buat Mohd. Ehsan menekan butang panik kerana percaya masih ada ruang untuk skuad kendaliannya memperbaiki kelemahan terutamanya masalah stamina.
“Saya akui kami berdepan masalah stamina yang menggusarkan, namun ia normal buat mana-mana pasukan yang beraksi buat kali pertama dalam kejohanan Piala Dunia seperti mana kami.
“Ia akan diperbaiki daripada masa ke semasa sebaik kejohanan berakhir, buat masa ini kami masih positif memberikan saingan,” katanya.
Bakal menyambung aksi saingan menentang Fiji dan Singapura esok, tiada lain yang dituntut Mohd. Ehsan supaya anak-anak buahnya meraih pengalaman berharga sepanjang kejohanan ini.
“Fiji dan Singapura sememangnya pasukan yang hebat, keputusan aksi persahabatan menentang kedua-dua pasukan sebelum ini juga tidak memihak kepada kami.
“Cuma, saya percaya kami tidak akan menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan kerana masih mampu untuk menjinakkan beberapa pasukan lain seperti Ireland dan Taiwan,” katanya.
Selepas empat perlawanan, skuad FIT Touch Terbuka Campuran negara kini sekadar mengutip empat mata, jauh ditinggalkan New Zealand dan Samoa yang berkongsi 12 mata sementara Jepun mengikuti rapat di tangga ketiga Kumpulan B dengan 10 mata. – UTUSAN ONLINE
KEPUTUSAN
LELAKI 40 TAHUN
Amerika Syarikat (10) MALAYSIA (2)
MALAYSIA (2) Ireland (5)
TERBUKA CAMPURAN
MALAYSIA (2) China (8)
MALAYSIA (3) Jepun (10)
WANITA TERBUKA
MALAYSIA (0) New Zealand (14)
Filipina (3) MALAYSIA (4)











