SAUDAR PENGARANG,
SAYA merujuk kepada laporan Utusan Online bertarikh 26 April 2019 bertajuk ‘BTS: Ini Jawapan Syed Saddiq’.
Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan itu yang menerangkan bahawa Malaysia perlu menjadi destinasi utama dalam penganjuran persidangan antarabangsa termasuklah konsert yang mampu menarik kehadiran puluhan ribu pelancong asing seperti kumpulan K-Pop berpengaruh, BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Saya kira alternatif ini mampu menyuntik pendapatan negara yang lebih besar, melihat kepada kemampuan BTS menarik perhatian ramai terutama generasi muda.
Mengambil contoh penyanyi negara luar, Taylor Swift pada 2014 dan Mariah Carey pada 2018 telah berjaya menarik lebih 10,000 peminat ketika mengadakan konsert di negara ini. Justeru, melihat kepada kemampuan BTS yang menjadi kegilaan anak muda sekarang, tidak mustahil situasi sama berlaku.
Namun pandangan pihak kerajaan ini seakan-akan suatu ancaman kepada penyanyi tempatan yang rata-ratanya menginginkan peluang sebegini untuk menaikkan nama mereka. Bagi pendapat saya, sebaiknya kerajaan berfikir secara adil akan nasib penyanyi tempatan yang kurang mendapat peluang untuk tampil di pentas berskala mega. Ramai sahaja yang berkualiti dan berbakat malah turut mempunyai kelas dan pengaruh tersendiri.
Lihat sahaja penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Begitu juga penyanyi, Shila Amzah yang sudah menembusi pasaran antarabangsa selain Yuna yang berjaya menguasai rantau negara Barat. Justeru, apa lagi yang kurangnya pada penyanyi tempatan?
Dalam aspek Tahun Melawat Malaysia, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan aspek-aspek menunjukkan ciri-ciri Malaysia yang kaya dengan warisan dan budaya. Noraniza Idris,yang merupakan Ratu Irama Malaysia boleh sahaja dibawa untuk mempromosikan Malaysia. Namun sayangnya perkara ini masih belum berlaku kerana kekurangan penaja dan suntikan dana daripada pelbagai pihak.
Untuk membawa masuk BTS ke Malaysia sahaja membelanjakan sekurang-kurang RM4.2 juta. Ia jumlah yang tinggi. Sedangkan penyanyi tempatan ‘merangkak’ mencari dana untuk menjayakan persembahan.
Saya sedar, kerajaan membelanjakan wang sebagai modal untuk mendapat untung lebih besar. Namun, saat kewangan negara tidak stabil, saya kira, ia adalah perkara tidak wajar. Peluang terhadap penyanyi tempatan seharusnya adil.
Kerajaan juga perlu sedar bahawa Malaysia dan Korea mempunyai budaya yang jauh berbeza. Kita tidak mahu adegan peluk cium penyanyi K-Pop, B1A4, terhadap wanita Islam berlaku lagi selain kes meratapi pemergian artis Korea, Jonghyun pada 2017 yang turut mempengaruhi anak muda Islam. Amalan ini sama sekali bercanggah dengan budaya Malaysia yang mementingkan tata susila.
Kerajaan perlu berpegang kepada matlamat dalam mempromosikan Malaysia dalam aspek kebudayaan yang ada dalam negara ini. Tidak ada guna sekiranya pendapatan deras mengalir masuk, namun budaya Korea mendominasi sehingga menenggelamkan nilai estetika yang ada pada Malaysia.
MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
Shah Alam











