TIDAK dapat dinafikan kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang terutama ekonomi, pendidikan dan infrastruktur hari ini hasil pengeluaran produk pendidikan tinggi yang dimiliki rakyatnya.
Taraf hidup rakyat semakin baik berbanding zaman penjajah Inggeris yang pernah memerintah negara ini suatu masa dahulu.
Banyak sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dibina bagi menempatkan ramai pelajar luar bandar yang berpotensi maju belajar di situ.
Kini terbukti langkah berkenaan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar, sekali gus mendekatkan jurang perbezaan kaum dari segi ekonomi dan sosial di negara ini.
Soalnya, dapatkah situasi masa kini berterusan apabila negara dan dunia mengalami perubahan persekitaran membabitkan teknologi, sistem perundangan, perdagangan, pendidikan serta gaya hidup baharu yang sudah jauh berbeza berbanding 100 tahun lalu?
Peruntukan pembangunan negara semakin meningkat setiap tahun terutama sektor pendidikan apabila kerajaan terpaksa bergantung kepada keadaan pendapatannya sendiri melalui cukai yang dikenakan terhadap rakyat di negara ini.
Jumlah pungutan cukai kerajaan pula kebanyakannya bergantung kepada kegiatan ekonomi yang menguntungkan berlandaskan kedudukan dagangan antarabangsa pelaburan asing ke negara ini.
Kedudukan kewangan negara akan terjejas apabila ekonomi dunia mengalami kemerosotan yang menyebabkan mereka tidak mampu membeli produk komoditi negara ini seperti kelapa sawit dan getah.
Kestabilan politik negara dan kebijaksanaan pemimpin juga memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan kedudukan ekonomi rakyat serta negara yang menjadi faktor penting menarik pelabur asing melabur di sini.
Kemungkinan suatu masa nanti rakyat terpaksa berbelanja sendiri dalam bidang pendidikan di peringkat sekolah dan universiti apabila pendapatan kerajaan merosot sekaligus sudah tidak mampu lagi menanggung beban perbelanjaan rakyat yang semakin meningkat.
Perkara ini berlaku apabila bekalan air, letrik dan telefon diswastakan serta bilnya dibayar sendiri rakyat tanpa lagi memperoleh bekalan secara percuma.
Mungkinkah suatu masa nanti sekolah swasta akan dibina lebih banyak bagi mengurangkan beban kerajaan dalam sektor berkenaan sekaligus meningkatkan kadar pengangguran belia apabila ramai golongan ini tidak mampu membiayai kos pendidikan sendiri?
Penulis berpendapat, keadaan ini mungkin boleh berlaku apabila melihat putaran dunia masa kini.
Oleh itu rakyat di negara ini mesti berfikir ke hadapan dan bersedia menerima perubahan baru sedikit demi sedikit dalam tempoh beberapa tahun akan datang
Rakyat di negara ini terutama kaum bumiputera tidak lagi boleh berfikiran sentiasa mengharapkan kerajaan membantu mereka berjaya dalam pelbagai bidang.
Mereka mesti mempunyai daya tahan dan saing untuk mencapai kehidupan yang lebih baik di tengah-tengah dunia semakin rencam ini.
Fikir-fikirkan sebelum terlambat. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.
DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah Perunding Media dan Penyelidikan Sains Politik Tanah air.











