Dihormati, bukan diragui - Utusan Malaysia

Dihormati, bukan diragui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) merupakan suatu pendekatan kerja bersepadu Perkhidmatan Awam Malaysia yang diperkenalkan sejak 2009 dan diiktiraf dunia sebagai antara kaedah terbaik dalam memberi perkhidmatan mudah dan berkesan kepada masyarakat.

Antara institusi yang diwujudkan melalui konsep NBOS ialah Pusat-Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat-Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Di pusat-pusat ini, rakyat dibekalkan dengan pelbagai perkhidmatan melalui agensi-agensi terpilih, yang dianggap menjadi keperluan semasa kepada rakyat. Perkhidmatannya bermula pukul 8.30 pagi hingga 10.00 malam setiap hari, meliputi hari minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melalui program NBOS juga, diadakan gerakan kerja bersepadu di antara agensi-agensi yang berupaya menghasilkan impak tinggi seperti membina segera jambatan-jambatan sementara, jalan serta rumah keluarga miskin apabila dilanda banjir atau sebarang bencana.

Biasanya agensi-agensi terlibat termasuklah Angkatan Tentera (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat (PBPM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan lain-lain.

Kejayaan Program NBOS merupakan antara banyak lagi indikator atau petanda yang menampilkan bukti bahawa perkhidmatan awam di Malaysia antara terbaik di dunia. Itu pun belum termasuk pelantikan wakil negara dalam Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA).

Dicatatkan perihal prestasi cemerlang perkhidmatan awam ini mengambil sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei. Bersalut harapan agar semangat kerja para penjawat awam tidak luntur dan terganggu meski pun mereka tercabar dengan kenyataan-kenyataan yang ‘kurang menyenangkan’, terutama pada akhir-akhir ini.

Macam mana penjawat-penjawat awam boleh ‘berasa senang’ misalnya dengan provokasi untuk melakukan ‘gerakan pemutihan’, kononnya bagi memastikan mereka perlu ‘patuh setia’ dengan kerajaan yang ada?

Ditambah pula dengan ‘amaran’ mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam kerana dikatakan bilangan yang ada tidak sepadan dengan penghasilan kerja. Itu belum lagi pemotongan peruntukan bagi menjayakan program atau operasi kerja semasa.

Lebih malang apabila terdapat kes orang awam cuba mengganggu tugas-tugas rasmi penjawat awam. Apakah ini bertolak dari pengaruh ‘cemuhan’ pihak tertentu?

Tidak profesional sangatkah penjawat awam? Sedangkan segala perjalanan perkhidmatan mereka sentiasa berlandaskan peraturan, etika, tatacara dan undang-undang.

Betul! Terdapat sejumlah kecil yang abai, cuai dan melakukan salah laku dalam perkhidmatan. Biarlah mereka berhadapan tindakan setimpal, bergantung pada peraturan-peraturan yang sedia ada!

Sejak negara mencapai kemerdekaan, perjalanan tadbir urus negara berjalan secara berstruktur dan bersistematik. Malah, banyak peraturan dan tatacara kerja diubah dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memperkemas sistem yang sedia ada.

Hasilnya, negara bertambah maju, pembangunan meningkat dan kehidupan rakyat menjadi lebih makmur.

Misalnya, siapa di belakang kejayaan Malaysia yang tersenarai di tempat ke-23 paling berdaya saing daripada 137 negara di dunia dalam Indeks Daya Saing Global 2017-2018, jika tidak dengan peranan dan prestasi cemerlang para penjawat awam negara.

Pun misalnya, penurunan kadar kemiskinan negara dari 3.8 peratus pada tahun 2010 ke paras 0.4 peratus pada tahun 2016 tentulah juga atas daya urus yang cekap dan efisien para penjawat awam, menterjemahkan dasar dan perancangan kerajaan yang ada ketika itu.

Persoalannya, kenapa di akhir-akhir ini sektor perkhidmatan awam negara seolah-olah ‘ada-ada saja yang dianggap tidak kena’? Sedikit rumusan melalui pengalaman penulis yang berada dalam perkhidmatan awam kira-kira 40 tahun:

“Jangan hanya tahu menyalahkan pekerja bawahan jika ketuanya tidak tahu mengurus dengan menyediakan panduan kerja yang jelas dan teratur”.

“Dan, jangan hanya tahu menyalahkan jentera pelaksana (penjawat awam) jika tidak ada dasar atau program yang jelas daripada pihak pemerintah atau kerajaan yang ada, bersama fokus dan matlamat untuk diterjemah atau dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.”

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini