KOTA TINGGI 30 April – Dianggarkan lebih 35 buah rumah yang terjejas akibat letupan serta kebakaran di sekitar Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), dekat sini pada 12 April lalu sudah dibaik pulih setakat ini.
Ketua Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn. Bhd., Anita Azrina Abdul Aziz berkata, pihaknya bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kota Tinggi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu penduduk yang terjejas.
“Selepas insiden itu, kami mempertimbangkan semua laporan polis yang diterima sebelum pergi ke premis terjejas dan meneliti apa yang perlu dibaiki. Kami ingin memastikan aspek pembangunan kita untuk PIC memenuhi standard yang tinggi.
“Kami sudah membaiki lebih 35 rumah di kawasan sekeliling dan di Kampung Lepau ini sahaja kami menerima lebih 20 laporan mengalami kerosakan. Apa yang mustahak sekarang ialah untuk membaik pulih rumah yang terjejas sebelum bulan Ramadan dengan memberi fokus kepada premis yang kritikal,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa buah rumah di Kampung Lepau, Pengerang yang sedang dalam proses baik pulih ketika ini. – UTUSAN ONLINE











