CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyoal siasat dua individu yang mengguna laman Facebook mereka untuk menghina Nabi Muhammad SAW, isteri baginda, Saidatina Aisyah dan kesucian agama Islam di negara ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima pihaknya daripada orang ramai supaya tindakan diambil terhadap pihak berkenaan.
Jelasnya, percakapan kedua-dua individu itu telah dirakam selepas satu serbuan serentak yang dikendalikan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor.
“Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua suspek menjurus kepada perbuatan memuat naik kandungan bersifat jelik dan menghina dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.
“Dalam kes pertama membabitkan pengguna akaun Facebook bernama Auni Zaara, suspek memuat naik mesej yang menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Shafie, bagi kes kedua pula, pengguna akaun Facebook Fadhillah Abdulhamid memuat naik kandungan bersifat jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang cukup menghina.
Jelasya, dalam serbuan itu, dua telefon bimbit, tiga kad sim dan satu kad memori telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Shafie turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahguna media sosial untuk menyebarkan hantaran atau mesej berbaur penghinaan yang boleh mengundang kemarahan orang awam.
Kedua-dua kes itu disiasat di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











