JOHOR BAHRU 30 April – UMNO Johor percaya keputusan pembebasan bekas Exco negeri ini, Datuk Abdul Latif Bandi oleh mahkamah daripada tuduhan rasuah baru-baru ini tiada kena mengena dengan pangaruh politik.
Pengerusinya, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, UMNO Johor juga percaya Abdul Latif dibebaskan selepas menjalani proses mahkamah yang bersih dan saksama.
Menurutnya, parti itu tidak pernah mencampuri sebarang keputusan perundangan terutama membabitkan ahli-ahli parti yang dikenakan tindakan.
“Maksudnya, semuanya diserahkan bulat-bulat kepada undang-undang, kita di UMNO memang tidak pernah mencampuri sebarang keputusan perundangan khususnya berkaitan dengan ahli-ahli yang diambil tindakan.
“Bila Abdul Latif dibebaskan daripada tuduhan mahkamah itu, maksudnya memang dia dah bersih, saya tidak fikir pun dia akan tinggalkan UMNO hanya kerana mahu bebas sebab sehingga kini, beliau masih lagi ahli parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan Abdul Latif dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah kerana telah meninggalkan UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan baharu.
Hasni berpendapat, perkara berkenaan juga tidak berasas kerana jika kerajaan baharu serius salam menegakkan prinsip Rules of Law yang sering dilaungkan mereka, maka pekara seperti khabar angin itu tidak akan berlaku.
Pada 21 April lalu, Abdul Latif yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 27 serta perunding hartanah, Amir Sahriffuddin Abd Raub, 46 dilepas dan dibebaskan daripada semua 37 pertuduhan rasuah pada 2017.
Keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Pertuduhan melibatkan Seksyen 32(8)(C) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada aktiviti haram (AMLA) 2001 membabitkan nilai lebih RM30 juta. – UTUSAN ONLINE











