KUALA LUMPUR 30 April – Gerakan kempen Boikot, Lupus dan Sekat (BDS Malaysia) mengutuk tindakan Senator daripada DAP, Nga Hock Cheh yang mencadangkan negara menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel, dan menyifatkan ia seolah-olah satu propaganda Zionis.
Menurut BDS Malaysia, Hock Cheh bukan sahaja mempamerkan ketidakmatangan terhadap konflik yang dihadapi Palestin, malah gagal dalam kepercayaan agama Kristian sendiri dengan tidak menyedari bahawa orang Kristian di Palestin juga menjadi mangsa pencerobohan Zionis.
“Penganut Kristian di Palestin juga dilarang dari segi hak asasi seperti saudara Muslim mereka. Pokoknya, ia tidak memerlukan seorang menganut Islam, Kristian, Buddha atau Hindu untuk menentang apa yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin. Anda hanya perlu bersikap seperti seorang manusia,” menurut gerakan itu dalam kenyataannya hari ini.
Ia sebagai reaksi kepada kata-kata Hock Cheh pada 24 April lalu dalam sidang Dewan Negara mengenai cadangan membuka kedutaan di Israel bagi membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada hubungan yang terjalin.
Menurut BDS Malaysia, Hock Cheh yang juga pemimpin DAP Perak melahirkan sokongan terhadap cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia membuka kedutaan di Palestin.
Namun pada masa sama, beliau juga dikatakan mencadangkan Malaysia turut membuka kedutaan di Isreal untuk meraih manfaat memandangkan negara Yahudi itu memiliki kemajuan dalam bidang teknologi terutamanya pertanian seperti yang dinikmati oleh negara jiran Thailand.
Gerakan itu turut menyifatkan kelakuan pemimpin DAP itu hanya memalukan partinya.
Jelas BDS Malaysia lagi, cadangan Hock Cheh untuk menghapuskan dasar berlandaskan kuam dilihat bertentangan dengan cadangan menjalinkan hubungan dengan Isreal.
Ini kerana, gerakan itu menganggap ahli DAP itu seharusnya tahu bahawa Israel tanpa henti mengekalkan dasar berasaskan kaum terhadap penduduk Palestin.
“Sikap itu hanya memalukan partinya yang telah meletakkan beliau sebagai antara wakil parti di Dewan Negara
“Walau bagaimanapun, kami mahu bersama-sama beliau untuk menyertai kami untuk mewujudkan keadaan yang akan membawa kepada Palestin yang bebas di mana orang Arab, Yahudi, Kristian dan Islam boleh hidup bersama dalam aman damai dan bermaruah,” kata gerakan itu.-UTUSAN ONLINE











