KUALA LUMPUR 30 April- Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau mana-mana pihak yang didapati terlibat membekalkan benih ‘padi hantu’ akan disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan susulan daripada mana-mana pihak untuk bertindak berdasarkan aduan yang dibuat.
Katanya, siasatan akan dijalankan oleh pasukan petugas khas dengan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pembangunan) Datuk Salim Parlan yang ditugaskan untuk menyiasat sembilan syarikat membekalkan benih padi.
“Kita akan menyiasat dan bertindak jika ada aduan. Isu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pun ada yang disiasat di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak kementerian sendiri tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Majlis Sanjungan Budi 2018 di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











