F&N sedia laksana cukai gula - Utusan Malaysia

F&N sedia laksana cukai gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 30 April – Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) bersedia melaksanakan cukai gula yang berkuat kuasa 1 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, perkara tersebut merupakan cabaran besar bagi syarikat memandangkan 90 peratus daripada portfolio produk akan terjejas disebabkan cukai berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin syarikat mampu membendung kesan cukai itu terhadap kebanyakan kategori yang terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebanyak 70 peratus daripada 90 peratus produk F&N boleh diformulasikan semula, namun ia akan melibatkan kos tambahan. Masih terdapat beberapa varian yang kami sedang cuba.

“Kita akan lihat berapa banyak kos yang boleh diserap. Menaikkan harga merupakan pilihan terakhir,” katanya pada taklimat media keputusan separuh pertama F&N di sini hari ini.

Kerajaan menangguhkan pelaksanaan duti eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula pada 1 April kepada 1 Julai 2019.

Tambah Yew Hoe, tiga hala tuju umum akan diambil oleh syarikat itu untuk mengurangkan impak cukai gula iaitu menyediakan resipi asal dalam saiz pek yang lebih kecil, mengurangkan resipi bergula dan mentransformasikan portfolio menerusi inovasi ke dalam kategori produk kesihatan.

Beliau berkata, F&N telah melabur sebanyak RM30 juta perbelanjaan modal (capex) bagi kilang di Shah Alam untuk membolehkan pengeluaran beberapa produk bermula Oktober tahun ini.

Mengenai prospek perniagaan di Malaysia, Yew Hoe berkata, F&N akan terus mengeluarkan minuman ringan isotonik dan berkarbonat termasuk 100PLUS dan F&N Laici Pir yang baharu tetapi pada masa sama memberi pilihan lebih sihat kepada pelanggannya.

Di peringkat serantau, beliau berkata, prospek bagi pasaran Thailand dijangkakan lebih baik berikutan peningkatan dalam segmen susu pekat manis dan tidak manis selain memperluaskan pasaran eksport ke Nepal dan Perancis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini