KUANTAN 30 April – Seramai 206 pemenang Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) 2018 peringkat negeri dirai hari ini.
Mereka terdiri daripada murid dan pelajar yang terbaik dari segi peningkatan simpanan dan penyertaan SGSP.
Pengarah BSN negeri, Said Azmi Said Ali berkata, SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaannya terbuka kepada pelajar sama ada di peringkat rendah atau menengah.
Katanya, pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula 1 Januari tahun lepas.
“Sehingga akhir tahun lalu, SGSP menerima sambutan penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada pelajar dan pihak sekolah.
“Selain itu, sebanyak lebih 8,000 buah sekolah telah menyertai SGSP tahun ini dengan nilai keseluruhan 10,180 sekolah seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah SGSP di Jabatan Pendidikan Negeri di sini.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau dekat sini, Mat Jusoh Che Ngah berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh BSN merupakan konsep sistem pendidikan baharu yang memupuk minat menabung.
“Ini adalah realiti pendidikan yang menguntungkan kedua-dua pihak yang secara tidak langsung membuka ruang dan peluang kepada pelajar menabung sejak alam persekolahan untuk manfaat mereka pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











