JOHOR BAHRU 30 April – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengalu-alukan siasatan ke atas beliau, ahli keluarga atau mana-mana bekas pegawai jika didapati melaggar undang-undang, namun jangan menganiaya jika mereka tidak bersalah.
Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan, pendiriannya itu bukan perkara baharu tetapi konsisten sejak dahulu lagi, malah sudah dimaklumkan kepada agensi penguatkuasaan bahawa jika mereka bersalah, jalankan siasatan dan dakwa di mahkamah jika terlibat.
“Isu mengenai bekas pegawai saya, saya konsisten dari dahulu lagi sama ada pegawai saya ke, mantan pegawai saya ke, keluarga saya ke atau diri saya sendiri…kita tidak boleh meletakkan diri melebihi undang-undang.
“Jadi kalau salah tetap salah, kalau langgar undang-undang dakwa mereka tapi jangan cuba mengaitkan ia dengan isu politik atau dengan diri saya kerana saya punya pendirian konsisten dari dahulu lagi…cuma jangan dianiaya mana-mana pihak yang tidak berdosa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Akhbar melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki bekas pegawai khas kepada bekas menteri kerana disyaki menjadi dalang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta semalam.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengahari semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. – UTUSAN ONLINE











