GOMBAK – Polis menahan tujuh lelaki warganegara tempatan termasuk seorang lelaki warganegara Indonesia dalam serbuan sebuah pusat penganjuran perjudian online (counting centre) di sebuah rumah tiga tingkat di Puteri Height, Rawang di sini malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddinberkata, serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kira-kira pukul 9 malam.
“Serbuan itu dilakukan hasil daripada maklumat mengenai kegiatan tersebut yang sudah beroperasi sejak sebulan lalu di rumah tersebut yang mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.
“Enam daripada lelaki tersebut adalah warga tempatan berusia 17 hingga 35 tahun manakala lelaki Indonesia itu berusia 24 tahun dan tidak mempunyai pasport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arsad menambah, rumah itu menjadi pusat untuk menerima wang pertaruhan, menghebahkan maklumat berkaitan pertaruhan selain menguruskan segala urusan berkaitan judi online melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Telegram kepada pelanggan manakala kesemua transaksi pembayaran adalah secara perbankan dalam talian.
“Hasil siasatan awal mendapati anggaran pertaruhan yang diperolehi oleh sindiket ini bernilai RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.
“Pihak polis turut merampas beberapa barangan antaranya empat set komputer, sebuah mesin pencetak, dua unit modem, 19 unit telefon bimbit, dua buah buku senarai nombor telefon serta satu beg berisi resit bank,” ujarnya. – K! ONLINE











