PULAU PINANG 30 April – Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah motosikal yang ditunggangi pasangan warga emas ketika melintas jalan di Jalan Kurau, Taman Chai Leng, Perai di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa, Choo Poh Im, 61, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian kepala selepas dirempuh motosikal ditunggangi lelaki berusia 72 tahun bersama isterinya berusia 70 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai melintas jalan sebelum motosikal ditunggangi pasangan suami isteri berkenaan dari arah Taman Siakap, Seberang Jaya menuju ke Perai tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
“Mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal tersebut turut mengalami kecederaan pada kepala.
“Isterinya juga cedera ringan serta luka-lupa pada bahagian tangan dan kedua-dua mereka dirawat di HSJ dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











