KUALA LUMPUR 30 April – Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diteruskan dengan penjajaran semula dalam pelaksanaan yang akan memberi manfaat kepada golongan warga emas.

Mekanisme baharu itu adalah berbeza dengan pelaksanaan sebelum ini iaitu bantuan diberikan kepada waris setelah warga emas tersebut meninggal dunia.
Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), Gan Pei Nei berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan skim tersebut seiring dengan maklum balas oleh warga emas.
“Seramai 200,000 warga emas yang akan menerima manfaat tersebut dengan peningkatan besar berbanding 103,320 waris yang telah menerimanya sejak 10 tahun lalu.
“Pelaksanaan tersebut menunjukkan usaha komited dilakukan Kerajaan Negeri Selangor terhadap kepedulian mereka kepada golongan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk SMUE dalam mekanisme pelaksanaan yang baharu pada 24 April lalu.
Tambah Pei Nei, pihaknya menyeru kepada semua warga emas yang layak untuk segera mendaftar di bawah skim itu agar tidak terlepas daripada manfaat itu.
“Pendaftaran skim tersebut boleh dibuat di pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdekat dengan lokasi tempat tinggal atau boleh hubungi Careline Yawas di talian 03-5481 8800 untuk sebarang pertanyaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











