LONDON 30 April – Mauricio Pochettino terpaksa melupakan khidmat Harry Kane dan Son Heung-min ketika Tottenham bersedia untuk menghadapi Ajax pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.
Kane mengetuai senarai panjang kecederaan pemain yang turut membabitkan Erik Lamela dan Harry Winks, manakala Son pula digantung perlawanan.
Namun dengan kejayaan meranapkan impian Manchester City meraih empat gelaran di peringkat suku akhir, Pochettino menegaskan kekuatan Spurs terletak kepada kerjasama pasukan yang mampu mengatasi cabaran pemain muda berbakat Ajax.
“Untuk berada di separuh akhir Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang saya impikan. Anda perlu menyelesaikan impian anda, melepasi infiniti.
“Peluang Tottenham beraksi di separuh akhir bukan selalu berlaku. Kami berada dalam situasi yang tidak mungkin berubah dan kami perlu bersedia.
“Adalah mustahil untuk penat, mustahil untuk tidak teruja beraksi. Saya pasti, tidak syak lagi kami akan memilki tenaga sepanjang 90 minit,” kata Pochettino pada sidang media pra-perlawanan menjelang penampilan pertama Tottenham pada separuh akhir Piala Eropah sejak kejohanan itu dipertandingkan tahun 1962.
Bagaimanapun, pasukannya lawannya mempunyai kelebihan apabila memperolehi rehat seminggu apabila saingan Liga Belanda ditangguhkan bagi memberikan mereka lebih masa membuat persediaan, sebaliknya Spurs berdepan keletihan, malah tewas buat kali keenam dalam 10 aksi terakhir liga kepada West Ham Sabtu lalu. – AFP











