KUALA LUMPUR 30 April- Polis menumpaskan tiga kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri sarang burung walet dengan tertangkapnya lapan lelaki menerusi lima serbuan di daerah Miri, Sarawak pada Isnin lalu hingga pagi tadi.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meh Seah berkata, tiga kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan Boy, Kumpulan John dan Kumpulan Billy itu dipercayai telah bergerak aktif dalam kegiatan itu di sekitar Miri termasuk Bekenu dan Batu Niah sejak tahun lalu.
Katanya, kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 42 tahun itu turut melakukan jenayah tersebut di Bintulu, Sibu dan Sarikei.
“Hasil siasatan mendapati sarang-sarang burung yang dicuri di kawasan Miri dan Bintulu akan dijual di Sarikei.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” lapor Utusan Borneo di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











