KUANTAN 30 April – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) sedang mengkaji untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal pergerakan media terutama elektroknik dan cetak ketika musim pilihan raya.
Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, langkah itu penting bagi memastikan wujudnya keadilan kepada semua parti bertanding sekali gus menghidupkan demokrasi dalam sistem pilihan raya di negara ini.
“Setakat ini belum ada undang-undang dalam undang-undang pilihan raya yang mengawal pergerakan media ketika musim pilihan raya.
“Kita (ERC) akan memberikan cadangan supaya undang-undang ini diwujudkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengawal keadaan bagi memastikan semua pihak yang bertanding mendapat layanan yang adil,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kajian Semula Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Malaysia’ di Dewan Banquet Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan di Indera Mahkota di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Amerul Muner Mohammad.
Ab. Rashid berkata, undang-undang itu bukan untuk menyekat laporan media tetapi bagi memberikan keadilan sekali gus mewujudkan suasana politik matang. – UTUSAN ONLINE











