[VIDEO] Polis lumpuhkan sindiket jual sijil cuti sakit palsu - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis lumpuhkan sindiket jual sijil cuti sakit palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 April – Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket menjual sijil cuti sakit palsu selepas menahan enam individu termasuk seorang wanita pada minggu lalu.

Difahamkan, penahanan itu dilakukan pada 22 hingga 27 April lalu susulan laporan polis dibuat oleh seorang wanita yang juga penolong pegawai tadbir di sebuah Pejabat Kesihatan Daerah pada 12 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pengadu yang curiga dengan sijil cuti sakit yang dihantar kakitangannya sebelum membuat pemeriksaan di Hospital Ampang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hospital Ampang kemudian mengesahkan tidak mengeluarkan sijil cuti sakit tersebut dan siasatan terhadap kakitangan berkenaan memberitahu dia membelinya dengan harga RM25.

“Bertindak hasil daripada laporan, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis (IPD) Sentul telah menahan lima lelaki dan seorang wanita berumur di antara 27 hingga 42 tahun di sekitar ibu negara dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Mazlan, polis turut melakukan pemeriksaan di tiga buah rumah sekitar Pandan Indah, Ampang, Cheras dan sebuah syarikat percetakan di Seri Kembangan, dekat sini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di semua lokasi membawa kepada rampasan 216 jenis cop doktor dan klinik swasta; 4,631 keping sijil cuti sakit; 257 buku cuti sakit dan lima telefon bimbit.

“Modus operandi mereka ialah menjual cuti sakit melalui rangkaian kenalan yang memerlukan dengan harga RM10 hingga RM15 sekeping.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif menjual cuti sakit palsu kepada pekerja swasta dan kerajaan sejak 2017,” jelasnya.

Tambahnya, dua suspek tangkapan awal telah dibebas dengan jaminan polis manakala empat lagi suspek direman hingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini