134 kompaun bernilai RM78,000 hasil Ops Kesan Perkeso di Kedah, Perlis - Utusan Malaysia

134 kompaun bernilai RM78,000 hasil Ops Kesan Perkeso di Kedah, Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 30 April – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah dan Perlis mengeluarkan 134 kompaun bernilai RM78,000 hasil Ops Kesan Bersepadu di kedua-dua buah negeri itu sejak 8 April hingga hari ini.

Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled berkata operasi melibatkan 30 anggota dari kedua-dua negeri berkenaan dilaksanakan bermula di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Perlis dan Langkawi supaya majikan mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Sepanjang tempoh itu, tiga kesalahan dikesan dilakukan majikan iaitu Seksyen 4 gagal atau lewat mendaftar perusahaan, Seksyen 5 gagal atau lewat mendaftar pekerja yang layak dan Seksyen 16 gagal daftar pekerja Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak 8 April lepas sehingga hari ini, operasi melibatkan 30 anggota ini telah melakukan pemeriksaan di 793 premis perniagaan. Hasil operasi ini anggota telah mengeluarkan 134 kompaun bernilai RM78,000 di kedua-dua negeri itu,” katanya kepada pemberita selepas Ops Kesan Bersepadu di Oriental Village, Teluk Burau di sini hari ini.

Terdahulu Shaharuddin bersama Pengarah Perkeso Perlis, Basharudin Khalid mengetuai operasi pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata sepanjang tempoh operasi itu, antara alasan diberikan majikan ialah tidak tahu perlu mencarum, kegawatan ekonomi dan menunggu tempoh tiga bulan sehingga pekerja disahkan jawatan sebelum mendaftar.

“Kita rasa ada majikan yang memang tidak tahu perlu mencarum dan majikan yang tahu namun sengaja ambil mudah (dengan tidak mencarum). Tindakan majikan ini memberi kesan kepada pekerja sekiranya berlaku sesuatu.

“Jika mencarum Perkeso menjaga kebajikan pekerja bermula mereka keluar dari rumah untuk ke tempat kerja sehinggalah mereka pulang, kalau tidak mendaftar macam mana nak buat tuntutan?. Saya harap majikan sedar untuk mencarum dan jangan tunggu pekerja sudah disahkan jawatan tiga bulan baru nak daftar, sekiranya dalam tempoh itu berlaku sesuatu bagaimana dengan pekerja?,” soal beliau. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini