MELAKA – Seorang wanita melecur 70 peratus di bahagian badan selepas dibakar oleh suaminya sendiri gara-gara mengesyakinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dalam kejadian di Taman Krubong Permai, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun dibakar suspek menggunakan minyak petrol yang diambil dari tangki motosikal milik wanita berkenaan.
Suspek berusia 45 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di kawasan tempat pelupusan sampah di Krubong pada pukul 3 petang hari yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan yang merawat mangsa di zon merah Hospital Melaka.
“Hasil maklukat itu, kita berjaya menangkap suspek di kawasan tapak pelupusan sampah dan mendapati dia berada di bawah pengaruh dadah serta alkohol.
“Hasil soal siasat dijalankan, suspek didapati baru dibebaskan dari Penjara Sungai Udang pada 17 April lalu dan mengaku telah membakar isterinya kerana mendakwa wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Nor Yhazid berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif Methampitamine selain turut mempunyai enam rekod jenayah lampau. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











