SABAK BERNAM – Sekumpulan penjenayah termasuk seorang wanita ditahan selepas dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di bengkel membaiki kenderaan di Tebuk Tupar, Tebuk Pulai, di sini, semalam.
Serbuan pukul 1 pagi itu menahan lima suspek termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hasil pemeriksaan di bengkel itu menemui 10 peket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 11.88 gram bernilai RM330.
Katanya, turut ditemui adalah dua peket lagi plastik lut sinar dipercayai syabu seberat 0.94 gram bernilai RM30.
“Hasil semakan mendapati tiga suspek termasuk seorang wanita dikehendaki polis daerah ini atas kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Empat daripada suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan berkaitan jenayah dan narkotik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, ujian air kencing terhadap kelima-lima suspek positif dadah jenis syabu dan mop.
Jelas Nor Azmi, mereka kini direman selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39 A(2) dan Sekyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











