PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan agenda membanteras rasuah walaupun sokongan terhadap kerajaan dan dirinya sendiri telah merosot.
Beliau turut meminta semua jentera kerajaan menolak rasuah dengan jangan mengambil walaupun “satu sen” atau “hadiah-hadiah” seperti membeli rumah pada harga murah.
“Harap kita berikrar tidak terlibat dengan rasuah kerana berdosa dan ia salah dari segi undang-undang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan di sini hari ini.
Mahathir berkata, dalam usaha menghalang perbuatan-perbuatan curang dan yang merosakkan pentadbiran negara, mungkin terdapat pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah merasa kecewa dengan kerajaan baharu kerana tidak lagi mendapat pendapatan tambahan daripada kegiatan itu.
Menurutnya, mereka yang kecewa itu merasakan seolah-olah kerajaan kleptokrasi dahulu lebih baik daripada kerajaan demokrasi dan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan dirinya merosot setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Mengambil contoh beberapa negara termasuk Mexico, Pakistan dan Indonesia yang menukar parti memerintah akibat salah guna kuasa, Mahathir berkata, usaha membersihkan negara daripada gejala itu perlu diteruskan kerana ia akan menghancurkan negara. – Bernama











