KUALA LUMPUR – Polis berjaya mematahkan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu dengan penahanan enam individu pada minggu lalu selain merampas sebanyak 4,613 keping sijil berkenaan.
Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila seorang wanita yang juga Penolong Pegawai Tadbir di sebuah pejabat kerajaan mendapati bahawa sijil itu yang diserahkan oleh kakitangannya adalah palsu berdasarkan semakan dengan Hospital Ampang pada bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak hospital mengesahkan mereka tidak pernah mengeluarkan sijil itu dan tiada rekod menunjukkan kakitangan tersebut mendapatkan rawatan pada tarikh yang dinyatakan.
“Siasatan awal terhadap kakitangan itu mendapati beliau membeli sijil tersebut dengan harga RM25 daripada sindiket.
“Berdasarkan maklumat itu, dia telah membuat laporan polis pada 12 April lalu dan dua kakitangan tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 April lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Mazlan menambah, berdasarkan laporan itu, tangkapan terhadap enam individu lagi termasuk seorang wanita itu telah dijalankan pada Selasa hingga Sabtu lalu di tiga buah rumah di sekitar Pandan Jaya dan Cheras di sini serta Ampang, Selangor dan juga syarikat percetakan di Seri Kembangan, Selangor.
“Polis turut merampas beberapa barangan antaranya 216 cop doktor klinik swasta dan kerajaan, 4,631 keping sijil cuti sakit, lima unit telefon bimbit dan peralatan komputer.
“Modus operandi mereka adalah melalui orang tengah yang menerima tempahan daripada pelanggan berdasarkan rangkaian kenalan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka dan dia akan berurusan dengan suspek yang menjual sijil ,setelah siap dicetak dan dicop, ia akan diserahkan kepada pelanggan,” ujarnya.
Daripada kesemua suspek, empat suspek termasuk seorang wanita direman sehingga hari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











