KUALA LUMPUR 30 April – Seorang lelaki maut akibat tercampak ke dalam sungai selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Teng Bukap, Jalan Puncak Borneo, Sarawak malam tadi.
Memetik Utusan Borneo, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, Sloan Tinju, 25, berasal dari Kampung Bunuk.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal seorang diri sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
“Mangsa tercampak ke dalam sungai sebelum ditemukan rakannya kira-kira pukul 12.20 tengah malam dan terus dikejarkan ke Hospital Serian.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.10 pagi oleh pegawai perubatan dipercayai akibat lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Alexson memberitahu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











